Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
PANGGILAN PALSU DARIPADA MAHKAMAH

BRUNEI DAN MUARA, Rabu 5 Jun - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dan berhati-hati berhubung kegiatan scam yang sedang tular di negara ini. Scam ini melibatkan panggilan telefon daripada individu yang mengaku dan menyamar sebagai seorang pegawai daripada Pihak Mahkamah. 

Beberapa laporan aduan telah diterima oleh PPDB dimana mangsa telah menerima panggilan telefon yang tidak dikenali menggunakan nombor talian ‘6730XXXXXX’, ‘6732XXXXXX’ atau ‘6733XXXXXX’’. Apabila dihubungi kembali, talian tersebut gagal dihubungi dan tidak berdaftar. Pemanggil juga didapati menggunakan loghat luar negara atau asing semasa dalam talian. 
 
Modus Operandi kegiatan scam ini dengan menghubungi mangsa dan menjelaskan mengenai tuntutan tunggakkan saman serta keterlibatan mangsa dengan kes-kes jenayah termasuk pembersihan wang haram, judi dan sebagainya. Bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan mangsa akan diarah untuk datang ke Mahkamah Besar untuk menjelaskan saman-saman berkenaan. 
 
Antara lain tujuan sebenar kegiatan ini adalah bagi mendapatkan nama penuh serta nombor kad pengenalan mangsa bagi kegunaan sindiket berkenaan. 
 
Pada 28 Mei 2019, Pihak Mahkamah telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai scam ini dan menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya. Walau bagaimanapun, PPDB mendapati kegiatan ini masih lagi aktif dijalankan sehingga ke tarikh ini, pihak polis telah menerima sebanyak 22 laporan mengenainya. 
 
PPDB ingin menekankan dan menasihatkan kepada orang awam agar tidak memberikan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenalpasti, terutama apabila menerima panggilan sedemikian. 

Untuk maklumat lanjut atau membuat laporan mengenai panggilan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi pihak polis di talian 993 atau di mana-mana balai polis berdekatan. 
 
 
Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI 


Attachments