Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
SERANGAN BOM KERETA SEORANG MAUT

2019-10-02 at 20.35.31 (4).jpeg

TUTONG, Rabu 2 Okt - Sebuah kenderaan jenis Wagon telah ditemui terbakar dipercayai diletupkan menggunakan sejenis bom buatan sendiri. Mangsa yang dipercayai pemandu kenderaan juga ditemui mati dan usaha untuk mengenal pasti sedang dijalankan. 
 
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima laporan kecemasan itu melalui talian 993 pada sekitar jam 10.30 pagi daripada seorang aduan memaklumkan telah mendengar satu dentuman kuat serta melihat kepulan asap di kawasan persimpangan jalan di Daerah Tutong. Hasil siasatan awal di tempat kejadian, sebuah kenderaan telah ditemui terbakar dan musnah. 
 
Berikutan kejadian tersebut, Unit Siasatan Tempat Kejadian beserta keanggotaan terlatih Penyiasatan Pasca Letupan (Post Blast Investigator) Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB telah dikerah ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti mangsa yang terlibat serta punca sebenar kejadian. 
 
Proses utama yang dijalankan ialah untuk mengenal pasti terlebih dahulu mangsa yang terlibat dengan menjalankan pemeriksaan menyeluruh serta pemeriksaan bahan bukti yang berkaitan. Manakala serpihan letupan dikumpulkan untuk dikenalpasti beserta  barangan komponen yang digunakan untuk menghasilkan bahan letupan termasuk peralatan yang telah diubahsuai. 
 
Berikutan adalah merupakan senario kejadian siri latihan eksesais penyiasatan pasca letupan “4th Live Blast and Post Blast Investigation Training Exercise Solar Wind IV Brunei Darussalam” antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura. 
 
Latihan yang dikendalikan ini berlangsung selama 2 hari bermula pada 1 Oktober 2019  dan ianya merupakan edisi kali ke empat sejak penubuhan latihan bersama sejak tahun 2014. 
 
Hadir bagi menyaksikan latihan eksesais ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PPDB, Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Dato Paduka Haji Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (Penyiasatan dan Perisikan), Pasukan Polis Singapura, Florence Chua Siew Lian yang dijalankan di kawasan Padang Tembak Binturan, Tutong. 
 
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengucapkan penghargaan kepada Pasukan Polis Singapura atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini dengan jalinan kerjasama yang kukuh dalam meningkatkan keupayaan, menajamkan kemahiran penyiasatan serta memperkuat hubungan di antara kedua-dua pasukan polis. 



Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments