Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
JALANKAN KHIDMAT KECANTIKAN TIDAK SAH
BERAKAS, Khamis 21 Mei - Sebuah rumah yang disewa sebagai tempat lokasi menjalankan khidmat rawatan kecantikan yang menyalahi aturan-aturan kesihatan dan perubatan di negara ini telah diserbu agensi penguatkuasa undang-undang di kawasan Kampong Orang Kaya Besar Imas, Jalan Kebangsaan Lama. 
 
Operasi yang dijalankan pada petang 21 Mei 2020 itu adalah hasil daripada kolaborasi Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Kementerian Kesihatan berikutan daripada maklumat yang diperolehi berkenaan perkhidmatan yang dijalankan dengan cara yang salah dan dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kebenaran atau lesen dari mana-mana pihak berwajib di negara ini.  
 
Perkhidmatan tersebut dipercayai mula beroperasi sejak setahun yang lalu dan menawarkan pelbagai khidmat rawatan kecantikan seperti pengubahsuaian payudara, wajah, punggung, rawatan pemutihan dan rawatan pelangsingan. Walau bagaimanapun, implikasi daripada kegiatan ini dipercayai boleh memudaratkan dan membahayakan kesihatan dan nyawa orang yang menerima rawatan tersebut. Ini boleh menjadi kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengamal-Pengamal Perubatan dan Doktor Gigi Penggal 112 (Medical Practitioners and Dentists Act, Cap 112) Akta Racun 1956 dan Perintah Ubat 2007. 
 
Berikutan itu, beberapa peralatan, ubat-ubatan dan produk kesihatan yang digunakan ketika proses rawatan pelanggannya dirampas untuk dijadikan bahan bukti. 
 
PPDB ingin menasihati orang awam agar lebih bijak membuat pilihan dalam mendapatkan rawatan di perkhidmatan kecantikan kerana perawatan yang tidak memenuhi syarat dan tidak mempunyai kelayakan yang sah bukan sahaja terdedah malah mendatangkan kemudaratan dan kesan sampingan kepada individu yang melanggani perkhidmatan kecantikan tersebut. 
 


Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments