Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN DAN MAJLIS PENTAULIAHAN SERTA PEMASANGAN PANGKAT BAGI PEGAWAI KADET INSPEKTOR PERCUBAAN SKUAD 1/2020

​Gadong, Khamis 19 November - Latihan Asas Kepolisan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan memperlihatkan usaha dan keupayaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Pusat Latihan Polis, untuk melatih dan membentuk seseorang menjadi pemimpin generasi muda, bermula daripada pangkat Kadet dan seterusnya kepada Inspektor Percubaan. 

Sehubungan itu, seramai 7 orang Pengambilan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2020 terdiri dari 6 orang lelaki dan seorang wanita berjaya menamatkan latihan asas kepolisan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Gadong, di sini. 

Latihan asas ini bertujuan untuk membentuk seorang anggota baharu dengan keperibadian kepolisan, membina kekuatan serta ketahanan mental dan fizikal bagi melahirkan seorang pegawai polis yang mempunyai keyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan juga kompeten dalam menegakkan kebenaran sesuai dengan tuntutan undang-undang negara ini. 

Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Juga hadir, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, Pengarah dan Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PPDB dan ahli keluarga Pegawai-pegawai Kadet. 

Di majlis berkenaan, tetamu kehormat mula-mula memeriksa perbarisan Pegawai-Pegawai Kadet dan perbarisan kawalan kehormatan serta diikuti dengan menyempurnakan penyampaian anugerah Pegawai Kadet Terbaik. 

Pegawai kadet terbaik daripada Skuad 1/2020 juga telah menerima anugerah Pedang Kehormat (Sword of Honor) yang disampaikan oleh tetamu kehormat kepada Inspektor Percubaan Ak Abd Razzaq bin Pg Kamarulzaman di atas prestasi cemerlang sepanjang latihan asas dijalankan. 

Acara kemudian diteruskan dengan perbarisan lalu para Pegawai Kadet dan diakhiri dengan keluar baris dalam masa perlahan jalan. 

Sementara itu, pada sebelah petang 19 November 2020, acara diteruskan dengan majlis pentauliahan dan pemasangan pangkat bagi kesemua Pegawai Inspektor Percubaan Skuad 1/2020 telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments