LIMAU MANIS, Sabtu 20 Feb - Atas usaha kerjasama yang berterusan di antara
Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan
Bersenjata Diraja Brunei dalam Operasi Sepadu Taskforce Security Covid-19 telah
berjaya menghalang cubaan membawa masuk barangan tegahan Akta Kastam ke
Negara Brunei Darussalam.
Kejadian berlaku pada 19 Februari 2021, semasa pasukan peronda menjalankan
rondaan rutin di kawasan perindustrian Kg Lumapas lalu ternampak sebuah kereta
yang diletakkan di kawasan tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.
Menyedari akan kehadiran pasukan peronda, kenderaan tersebut terus memecut
dengan laju menghala ke pasukan peronda. Walau bagaimanapun, pasukan peronda
sempat menyelamatkan diri daripada dirempuh dan kenderaan suspek terus
meninggalkan tempat kejadian.
Dalam kejadian yang berasingan pada sekitar jam 6.29 petang, semasa menjalankan
rondaan, pasukan petugas telah mendapati tiga orang individu sedang keluar dari
hutan sempadan Malaysia berjalan menuju ke Negara Brunei Darussalam dengan
membawa tiga kotak berwarna hitam dipercayai barang-barang tegahan.
Apabila menyedari kehadiran pasukan peronda, tiga individu tersebut segera
meninggalkan barangan yang dibawa dan terus melarikan diri masuk kembali ke
sempadan negara jiran. Salah seorang daripada suspek yang melarikan diri tersebut
didapati ada memegang sebilah parang dianggarkan berukuran 17 inci panjang.
Sejurus pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati kotak-kotak tersebut
mengandungi 36 botol minuman keras pelbagai jenama.
Barang-barang tegahan dibawa ke Balai Polis Kg Air untuk siasatan dan seterusnya
diserahkan penyiasatannya ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan
selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan
sempadan dipantau dan diperketatkan lagi dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk
menyekat kemasukan individu-individu secara haram bagi mengekang penularan
wabak Covid-19 selain membanteras kesalahan-kesalahan jenayah yang termaktub
di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI