Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
PEMANTAUAN MEMBUAHKAN HASIL

TEMBURONG, Jumaat 30 April - Sebuah kenderaan ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Kg Belais Kecil, Daerah Temburong kerana dipercayai ada membawa barangan tegahan. 

Kejadian berkenaan berlaku pada 29 April 2021 sekitar awal malam dimana sebuah kenderaan didapati berada di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan. Sejurus menyedari akan kehadiran pihak polis, pemandu kereta segera melarikan diri di kawasan hutan yang berdekatan dan meninggalkan kenderaannya.

Pemeriksaan kemudian dijalankan dan menemui kotak yang berisi barangan tegahan iaitu rokok diletakkan di bahagian belakang penumpang kereta tersebut. Pemeriksaan kawasan sekitar turut dijalankan lalu menemukan sejumlah kotak dipercayai berisi rokok dan juga minuman keras. 

Kesemua penemuan barangan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan seterusnya. 

Hasil daripada pemeriksaan dan penemuan telah mendapati sejumlah 103 katon rokok, 72 botol dan 96 tin minuman keras pelbagai jenama. 

Agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini tidak akan kendur-kendur, malah akan mempergiatkan lagi usaha dalam mempelbagaikan strategi pencegahan demi untuk mengekang apa jua kegiatan penyeludupan yang melanggar undang-undang di negara ini ditumpaskan dengan sewajarnya daripada terus berleluasa. 

Ucapan terima kasih dan penghargaan turut diberikan kepada masyarakat awam yang sering menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada pihak-pihak berwajib dalam sama-sama bertanggungjawab, mendokong dan membantu agensi-agensi penguatkuasa, bagi memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan aman dan juga sejahtera.




Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments