KUALA BELAIT, Rabu 15 Jun - Seorang lelaki warga emas telah meninggal dunia
dipercayai akibat daripada serangan jantung sebelum kenderaan yang dipandunya
dipercayai hilang kawalan dan merempuh kawasan hutan berdekatan di kawasan
Lebuhraya Mumong, Kuala Belait, Daerah Belait.
Laporan kemalangan disahkan telah diterima oleh Balai Polis Kuala Belait, Pasukan
Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 15 Jun 2022 sekitar jam 11.36 pagi.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang warganegara tempatan berumur
68 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan daripada Kuala Belait menghala ke
kawasan Seria.
Siasatan awal pihak polis menjelaskan semasa ditemui, mangsa yang meninggal
dunia didapati tidak sedarkan diri di dalam kenderaannya dan kemudiannya dikejarkan
ke Rumah Sakit Suri Seri Begawan, Kuala Belait oleh ahli-ahli paramedik dan telah
disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Hasil daripada pemeriksaan awal yang dijalankan dipercayai mangsa yang meninggal
dunia mengalami serangan jantung semasa dalam pemanduan dan penyebab kepada
kemalangan berlaku. Walau bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi
mengetahui punca sebenar kejadian berlaku.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI