Skip Ribbon Commands
Skip to main content
PDB tuan rumah ASEANAPOL Ke- 38 Tahun 2018

37TH ASEANAPOL (2).jpg
PERSIDANGAN ASEANAPOL Ke-37 di Republik Singapura dihadiri oleh para peserta dari 10 negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEANAPOL.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 September. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) akan menjadi tuan rumah Persidangan Ketua Polis Negara-Negara ASEAN (ASEANAPOL) Ke-38 Tahun 2018 yang akan menemukan pasukan-pasukan polis serantau dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa untuk membincangkan isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang transnasional. Menurut kenyataan Siaran Akhbar PDB, pengumuman tersebut dikeluarkan semasa Upacara Penutupan Persidangan ASEANAPOL Ke-37 di Republik Singapura pada 14 September lalu.

Persidangan  anjuran Pasukan Polis Republik Singapura  telah berlangsung dari 12 September hingga 14 September di Republik Singapura yang dihadiri oleh para peserta dari 10 negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEANAPOL. Lapan Rakan Dialog yang terdiri daripada Australian Federal Police, Ministry of Public Security of the People’s Republic of China, National Police Agency of Republic of Korea, New Zealand Police, Ministry of Internal Affairs of the Russian Federation, ICPO-INTERPOL dan Sekretariat ASEAN juga menghadiri persidangan tersebut. Persidangan turut disertai Fiji Police Force, Policia Nationale de Timor Leste, National Crime Agency of the United Kingdom, EUROPOL, International Association of Chiefs of Police dan International Committee of the Red Cross (ICRC).

Sementara itu, Delegasi PDB pula diketuai oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam. Delegasi turut diiringi oleh Penolong Pesuruhjaya Polis, Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali selaku Timbalan Ketua Rombongan dan lapan pegawai kanan sebagai timbalan pengerusi-pengerusi dan delegasi persidangan tersebut. Semasa persidangan tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang Republik Singapura, K. Shanmugam telah merasmikan e-ADS 2.0 (electronic - ASEANAPOL Database System 2.0) yang menampilkan versi baharu e-ADS termasuk e-Perpustakaan, forum perbincangan, kalendar acara dan portal pengumuman. Ini akan membolehkan Ahli-ahli ASEANAPOL untuk berkongsi amalan terbaik, trend jenayah di samping meningkatkan kerja sama dalam bidang operasi dan pembangunan kapasiti.


-Pelita Brunei

Attachments