Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Pantau perkembangan, permasalahan masyarakat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Untuk meninjau secara lebih dekat perkembangan semasa kampung serta bertukar-tukar maklumat mengenai jenayah-jenayah yang sudah berlaku di kawasan berkenaan, rombongan Balai Polis Kampong Ayer telah membuat lawatan ke rumah Ketua Kampung Lupak Luas dan Tarap Bau, Haji Suhaili bin Haji Moktar.

Pendekatan ini juga kesempatan mewakili Pasukan Polis Diraja Brunei untuk mendengar dan bermuzakarah dengan ketua kampung ke arah memantapkan lagi perpaduan, kesejahteraan dan juga kebajikan rakyat dan penduduk setempat. Rombongan yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul itu turut disertai dua orang ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan (PK) dan tiga orang anggota Balai Polis Kampong Ayer.

Lawatan dimulakan dengan perbincangan yang dipersetujui bersama bagi penetapan tarikh rondaan bersama antara anggota polis dan ahli-ahli PK.Interaksi kedua-dua pihak dalam suasana muhibah, konstruktif dan positif itu adalah sebagai usaha berterusan dalam mengukuhkan lagi keberkesanan PK supaya bergerak aktif dalam memantapkan lagi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat. Perjumpaan itu akan dapat mengeratkan serta mengukuhkan lagi tali silaturahim, ikatan kerjasama dan jalinan persefahaman di antara pihak polis dengan penduduk kampung.​

Attachments