Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
RUMAH PEKERJA DISERBU JALANKAN KEGIATAN PERJUDIAN

2019-09-07 at 18.25 (2).jpeg

LAMUNIN, Sabtu 7 Sept - Hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan, keanggotaan daripada Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi mengejut terhadap satu kegiatan perjudian haram, semalam. 
 
Serbuan yang dijalankan pada sekitar jam 11 malam tersebut mensasarkan sebuah rumah pekerja bertempat di Kilang Papan Kampung Batang Mitus, Lamunin. 
 
Sudut ruang terbuka rumah berkenaan telah dijadikan tumpuan para pejudi bermain permainan judi katam-katam kerana lokasi yang terselindung dan berdekatan dengan kawasan hutan. 
 
Sebaik menyedari kehadiran pihak polis kesemua kaki judi bertempiaran melarikan diri. Walaubagaimanapun, pihak polis berhasil menahan seorang daripadanya yang dipercayai merupakan ketua pemain (tukang tarik dan bayar duit) bernama Mok Cheong, warganegara Malaysia berumur 64 tahun. 
 
Pihak Polis turut menemukan peralatan-peralatan permainan judi yang sempat disembunyikan oleh suspek-suspek judi iaitu kain katam-katam, buah dadu, bekas mangkuk yang dijadikan tempat penyimpanan dadu beserta sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk bermain judi. Suspek beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lamunin bagi siasatan lanjut. 
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 dan 6 kesalahan melibatkan pengendalian tempat perjudian dibawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.  

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.   

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. 
 


Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments