TEMBURONG - Seperti sama-sama dimaklumi bahawa Jambatan Penghubung Daerah Brunei
Muara dan Daerah Temburong mula dibukakan penggunaannya kepada umum
pada bulan Mac 2020 walaupun terdapat beberapa kerja-kerja pemeliharaan
masih dalam perlaksanaan.
Jambatan ini dibuka mulai dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.
Difahamkan terdapat kategori kenderaan yang hanya dibenarkan untuk
menggunakan jambatan ini dimana kebenaran diberikan oleh pihak Jabatan
Kerja Raya melalui Pejabat Pengurusan Jambatan (Bridge Maintenance Office).
Penggunaan basikal di atas jambatan ini adalah tidak dibenarkan.
"Bridge Maintenance Team" ditugaskan untuk mengawal dan memastikan
segala aspek-aspek keselamatan dan kesejahteraan pengguna jambatan.
Di samping itu juga Pasukan Polis Diraja Brunei bekerjasama membantu dalam
memastikan perjalanan lalu lintas semasa menggunakan jambatan ini selain dari
menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, mengawal lalu lintas jika
berlaku kecemasan seperti kemalangan jalan raya sepanjang jambatan
berkenaan.
Memandu dengan kelajuan deras atas jambatan akan menyebabkan risiko
kemalangan dan kemalangan akan mengakibatkan pelanggaran yang boleh
sahaja menyebabkan kenderaan yang dipandu jatuh dari jambatan dimana
kemalangan bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada harta benda bahkan
boleh meragut nyawa dan kecederaan pada tubuh badan.
Mengambil contoh dan iktibar peristiwa atau kejadian kemalangan yang berlaku
atas jambatan di luar negara dimana dari kejadian ini telah menunjukkan kepada
kita suatu keadaan dimana mangsa mengalami kecederaan sangat parah dan
kerosakan pada harta benda yang sangat dahsyat.
Jika sesuatu kejadian kecemasan terjadi atas jambatan adalah tidak sama seperti
apa yang berlaku di atas jalanraya biasa dimana perkara ini mengambil kira
aspek-aspek bagaimana menangani situasi kecemasan atas jambatan
berbanding apabila berlaku atas jalan raya biasa seperti yang diketahui
jambatan tidak ada susur keluar atau laluan alternatif untuk menyelamatkan
mangsa dengan segera.
Perhatian pemanduan hendaklah ditumpukan dalam keadaan cuaca buruk
seperti hujan kerana lapisan jalan akan menjadi basah dan licin dimana ini boleh
menyebabkan kemalangan jika tidak berhati-hati.
Sehubungan dengan itu, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati
pengguna hendaklah mematuhi had kelajuan 80km/jam bagi kenderaan biasa
manakala had kelajuan 65km/jam bagi kenderaan komersial. Jangan menjadikan
jambatan berkenaan sebagai litar perlumbaan.
Menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan menyebabkan hilang
tumpuan terhadap kosentrasi dimana pemandu tidak dapat fokus sepenuhnya
dari apa yang terjadi di hadapan dan dipersekitarannya dan ini dengan sekelip
mata menyebabkan kemalangan akan berlaku.
Terdapat CCTV yang telah dipasang sepanjang jambatan ini yang boleh merakam
setiap pergerakan kenderaan termasuk aktiviti yang dibuat atas dan sepanjang
jambatan. Oleh yang demikian setiap pelanggaran undang-undang dan
peraturan akan dapat dikesan dan seterusnya akan diambil tindakan yang
berpatutan. Oleh itu jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh
melanggar undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak
berkuasa.
Kerjasama dari orang ramai adalah diharapkan demi menjaga keselamatan dan
kesejahteraan pengguna lain semasa menggunakan jambatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI