TEMBURONG, Selasa 15 Sept - Sebanyak 156 botol minuman keras jenama Label
5 ditemukan semasa rondaan pencegahan jenayah yang dilakukan oleh keanggotaan
Balai Polis Temburong di kawasan Kg Buda-Buda, Temburong semalam.
Rondaan yang dijalankan pada 14 September 2020 sekitar jam 11.50 malam itu menyusuri masuk ke kawasan penurunan perahu Kg Buda-buda dan telah mendapati
sebuah kenderaan yang mencurigakan diletakkan di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, kelihatan kelibat 3 orang individu di mana 2 orang daripadanya
sedang memunggah barang manakala seorang lagi berada di dalam perahu. Pihak Polis
segera mengambil tindakan dengan menghampiri mereka dan sejurus menyedari
kehadiran pihak Polis, 3 orang individu tersebut segera menaiki perahu dan melarikan
diri melalui jalan sungai.
Pemeriksaan di tempat kejadian telah mendapati sejumlah bungkusan hitam
dipercayai barang tegahan ditemukan berada di dalam kereta yang menggunakan
nombor pendaftaran negara ini.
.jpeg)
Kesemua bahan bukti dibawa ke Balai Polis Temburong bagi siasatan awal dan hasil
pemeriksaan telah mendapati sebanyak 156 botol minuman keras jenama Label 5
dikeluarkan daripada bungkusan dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan
Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Temburong akan sentiasa
meningkatkan lagi rondaan pencegahan jenayah dalam hala tuju pembenterasan dan
pengesanan terhadap sebarang aktiviti-aktiviti yang negatif yang melanggar
perundangan di negara ini.
Keperihatinan orang ramai juga diutamakan dalam aspek perkongsian maklumat bagi
memastikan risikan dan tindakan yang dilakukan terhadap kegiatan-kegiatan seperti
penyeludupan ini berhasil dipatahkan sehingga ke akar umbi.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI