BRUNEI MUARA, Khamis 18 Feb – Rondaan Pencegahan Jenayah melalui program
Pengawasan Kejiranan (PK) merupakan antara salah satu strategi pencegahan yang
diusahakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama masyarakat awam.
Aktiviti dalam program tersebut bukan sahaja menjadi cara untuk PPDB berganding
bahu bersama masyarakat awam dalam membendung jenayah, malahan terbukti ada
memberi kesan bagi pengurangan kadar terjadinya jenayah.
Beberapa aktiviti rondaan telah pun dijalankan oleh beberapa balai dari Daerah Polis
Brunei Muara, di antaranya adalah rondaan dari Balai Polis Kampong Ayer.
Rondaan PK yang diketuai oleh Inspektor Abdul Halim bin Abdullah Chok, Penolong
Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer dijalankan bersama Pemangku Ketua
Kampung Lumapas 'A', Yang Mulia Haji Saini bin Haji Maidin beserta keanggotaan
balai dan ahli-ahli PK kg berkenaan.
Rondaan telah meliputi ke kawasan Perumahan STKRJ Kg Lumapas, Jalan Kampong
Kilugus, Bangunan-Bangunan Kerajaan, Tapak Klinik Hospital Lama dan
persimpangan-persimpangan di Kg Panchor Lumapas.
Sementara itu, Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Muara juga telah
membuat rondaan yang berasingan. Rondaan yang terdiri dari anggota balai dan
beberapa ahli PK, diketuai oleh ASP Hajah Nur Azhani bte Haji Johaiani, Pegawai
Menguasa Balai Polis Muara.
Berpandukan dengan maklumat yang diterima, rondaan tersebut adalah bertujuan
untuk membuat pemantauan serta menjalankan tindakan pencegahan di kawasan
yang dikenal pasti berpotensi sering berlaku kejadian jenayah dan lokasi kali ini
ditumpukan di sekitar RPN Kampung Meragang, Pantai Meragang, Kawasan Taman
Permainan Kampung Meragang dan di kawasan Jalan Kemangsi.
Turut hadir mengikuti rondaan tersebut adalah Pemangku Ketua Kampung RPN Kg Meragang, Yang Mulia Awang Mohammad bin Tamin.
Di samping itu juga rondaan pencegahan jenayah telah dijalankan oleh Balai Polis
Berakas yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas,
Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman bersama ahli anggota balai yang
menumpukan rondaan di Kawasan 1 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas 'B'.
Sepanjang kesemua rondaan tersebut tidak ada menemukan sebarang kegiatan
jenayah dan aktiviti yang melanggar perundangan negara ini.
PPDB berharap dengan usaha program ini akan memberikan kesedaran kepada
orang awam akan betapa pentingnya gandingan bersama masyarakat dalam
memantapkan lagi semangat kejiranan dan bersama membenteras dan mencegah
jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI