BELAIT, Ahad 21 Feb - Seramai 42 orang lelaki ditahan selepas pihak polis
menyerbu kegiatan sabung ayam yang dijalankan di kawasan Kg Sungai Duhon,
Kuala Belait pada 21 Februari 2021.
Serbuan pada sekitar jam 12.00 tengahari itu adalah hasil kolaborasi daripada
keanggotaan Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Kuala Belait, Seria, Panaga
dan juga Balai Polis Sg Liang.
Setiba dilokasi, didapati sekumpulan kaki sabung sedang berkumpul di kawasan
gelanggang sabung ayam dipercayai sedang menjalankan kegiatan berkenaan.
Sejurus menyedari akan kehadiran pihak polis, kesemua kaki sabung bertempiaran
lari dengan membawa bersama ayam laga masing-masing.
Kesemua suspek berjaya ditahan terdiri daripada 7 warganegara tempatan, 21
penduduk tetap dan 14 warganegara asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 67
tahun.
Turut dirampas ialah 11 ekor ayam, peralatan judi dan wang tunai yang dipercayai
digunakan bagi pertaruhan sabung ayam. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa
ke Balai Polis Panaga untuk dijalankan siasatan lanjut.
Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta
Rumah Perjudian Penggal 28 iaitu bermain di rumah perjudian, yang mana jika sabit
boleh dihukum denda sebanyak $10,000 dan 6 bulan penjara.
Manakala pemilik rumah akan berdepan dengan kesalahan mengikut Seksyen 4 (a)
Akta Rumah Perjudian Penggal 28, jika sabit boleh dihukum denda $20,000 dan 12
bulan Penjara.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa berterusan menjalankan pemantauan dan
risikan dalam objektif utama untuk menangani serta membanteras sebarang aktiviti-aktiviti salah yang melanggar akta perundangan di negara ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei juga berharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan
apa jua maklumat yang berunsur kegiatan jenayah melalui talian kecemasan polis 993
atau melaporkan ke Balai-balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI