Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
2 LELAKI DITAHAN BAWA MERCUN

TEMBURONG, Selasa 27 April - Sebanyak 137 kotak mercun pelbagai jenis telah dirampas beserta penahanan dua (2) orang suspek oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 26 April 2021 sekitar jam 8.40 malam bertempat di Kg Buda-Buda, Temburong. 

Semasa pemantauan pencegahan jenayah dijalankan, sebuah kereta didapati telah memecut keluar daripada kawasan penurunan perahu dalam keadaan mencurigakan. Peronda bertugas segera dimaklumkan dan berjaya menahan kereta tersebut bersama pemandu dan penumpangnya. 
 
Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan sejumlah bungkusan kotak-kotak mencurigakan yang berisi barangan tegahan dipercayai bahan mercun dan rokok. Pemandu beserta kenderaan dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut. 
 
Kedua-dua suspek adalah lelaki warganegara tempatan yang berumur 26 dan 29 tahun. Kes ini akan disiasat di bawah penggal 58 iaitu Akta Senjata Api dan Bahan Letupan. 
 
Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan akan larangan tersebut kerana ianya menjurus kepada kemaslahatan orang awam kerana jika ianya diingkari maka boleh mengundang bahaya kepada bukan sahaja mereka yang bermain tetapi juga kepada orang lain seperti kecederaan kepada tubuh badan, kerosakan kepada harta benda dan kebakaran. 
 
Oleh itu, diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan. 
 
Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan. 
 
Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000. 
 
Sementara mengikut Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250. 




Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments