TEMBURONG, 30 Mei - Sebanyak 156 botol minuman keras pelbagai jenama, 6
katon rokok, 5 guni beras dan beberapa produk makanan daging ayam mentah
ditemui di dalam sebuah kenderaan yang mencurigakan dikawasan Kg Lepong Baru,
Temburong pada 29 Mei 2021.
Penemuan tersebut hasil kerjasama daripada rondaan pencegahan jenayah Pasukan
Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB)bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ABDB.
Dalam kejadian tersebut, pemeriksaan awal mendapati kenderaan yang
mencurigakan tersebut dalam keadaan tidak berkunci dan diletakkan di tempat
kawasan semak tanpa sebarang pemandu.
Balai Polis Bangar PPDB segera dihubungi bagi menjalankan siasatan lanjut dan
menemukan beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai berisi barang
tegahan dan barang-barang yang tidak diisytiharkan disimpan di bahagian kerusi
belakang penumpang dan di bahagian bonet kereta.
Barangan rampasan yang ditemui terdiri daripada beberapa katon rokok, beberapa
botol minuman keras, beras dan produk makanan daging ayam mentah termasuk
bahagian kaki ayam, tulang belakang ayam, kulit ayam dan sayap ayam mentah yang
diragui kehalalannya.
Seterusnya kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu
bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras
dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di
Negara Brunei Darussalam.
Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak
berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat
yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang
di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI