BERAKAS, Selasa 8 Jun - Sejumlah kotak yang mencurigakan ditemui hasil daripada
Operasi Sekatan Jalanraya yang telah dikendalikan oleh keanggotaan Jabatan
Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) di kawasan persimpangan berdekatan Jalan
Utama Berakas, Daerah Brunei Muara pada 7 Jun 2021.
Insiden penemuan barang tegahan terbongkar bilamana sebuah kenderaan yang
mencurigakan didapati memasuki persimpangan jalan sejurus operasi sekatan
jalanraya hendak dimulakan. Menyaksikan kejadian tersebut, beberapa keanggotaan
JSKLL segera bertindak memasuki laluan yang dimasuki kenderaan tersebut lalu
menemui kenderaan berkenaan tanpa ada sebarang pemandu dipercayai telah
melarikan diri.
Pemeriksaan kenderaan dijalankan dan telah menemukan sejumlah 8 bungkusan
kotak disimpan di bahagian penumpang dan bonet belakang kenderaan dipercayai
barangan tegahan iaitu rokok.
Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) kemudian dihubungi bagi peralihan
siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas akan sentiasa berusaha dan
tidak akan kendur-kendur dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul serta
menjalankan undang-undang yang diamanahkan oleh negara bagi memastikan
sebarang gejala-gejala yang negatif dan berunsurkan jenayah akan diambil tindakan
dengan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI