BERAKAS, Sabtu 11 Sept - Pihak Kerajaan amat serius terhadap perintah yang telah
dikeluarkan untuk sentiasa berada di rumah dan kawalan pergerakan dari membuat
sebarang aktiviti-aktiviti berkumpulan.
Larangan perintah ini adalah amat penting bagi masyarakat awam bagi memberikan
kerjasama sepenuhnya dalam menyokong dan membantu kerajaan dalam
melaksanakan pengekangan penularan wabak COVID-19 ini dengan sebaiknya.
Namun demikian, masih ada lagi yang degil dan ingkar akan perintah berkenaan
seperti satu rakaman video yang telah tular di media sosial memaparkan sekumpulan
individu dan beberapa kenderaan berada di kawasan Perindustrian Kg Salambigar
dipercayai sedang berkumpul dan bermain layang-layang.
Oleh yang demikian, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Berakas
telah menjalankan pemantauan dan operasi mengejut di kawasan berkenaan pada 11
September 2021 sekitar waktu petang dan telah berhasil menemukan sekumpulan
individu sedang bermain layang-layang dan seorang daripadanya telah pun diambil
tindakan kompaun kerana melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Justeru, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada orang ramai
agar sentiasa patuh dan akur dengan arahan pihak kerajaan berhubung langkah-langkah keselamatan terhadap wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Di samping itu, jika ada didapati sesiapa yang melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah
Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan akan dikenakan denda kompaun sebanyak
BND100 bagi kesalahan tanpa memakai pelitup muka, BND5,000 bagi kod merah
pada kod kesihatan aplikasi BruHealth bagi mereka yang mempunyai simptom
COVID-19 dan mempunyai kontak dengan orang yang positif virus tersebut. Jika sabit
kesalahan boleh membawa kepada denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga
tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI